Lilypie First Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
16

Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL): Mampu melahirkan pemimpin yang berkualiti?

artikel ini adalah Tugasan 1 bagi matapelajaran Kepimpinan dan Pengurusan dibawah bimbingan Dr Baharom pada sem3 sesi 2007/2008.

Ditulis oleh: Maisarah Binti Ismail

Abstrak- Peristiwa kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara kita pada Julai 1997 merupakan peristiwa menyedihkan. Walaupun peristiwa tersebut telah berlalu 10 tahun yang lepas, namun peristiwa tersebut merupakan contoh yang terbaik bagi membuktikan kepentingan kemahiran menyelesaikan masalah bagi seseorang pemimpin. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi melahirkan pemimpin yang beribawa dan bertanggungjawab dari kalangan para pelajar. Bak kata pepatah ”melentur buluh biar dari rebungnya”. Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di negara kita ialah melalui kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL). Di mana pelajar akan berusaha untuk mencari maklumat den menyelesaikan masalah dengan usaha sendiri. Proses ini akan menggalakan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif bagi menyelesaikan masalah yang diberikan dan berusaha mencapai matlamat yang telah dipersetujui oleh ahli kumpulan. Dalam kajian yang dijalankan oleh Nor Ratna Masrom (2005) mendapati bahawa pelajar tidak mampu untuk menyelesaikan masalah dan menguasai isi pelajaran sekiranya pelajar tidak memahami proses dalam pelaksanaan kaedah PBL. Maka Lynda Wee (2004) telah menggariskan tujuh langkah dalam melaksanakan proses PBL. Langkah –langkah tersebut adalah pembahagian kumpulan, mengenalpasti masalah, menjana idea, isu pelajaran, pembelajaran kendiri, sintesis dan aplikasi, dan refleksi dan tindak balas. Selain itu, kajian tersebut mendapati bahawa tanpa pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah, pelajar tidak mampu untuk melaksanakan dan mengaplikasikan kaedah PBL dengan sempurna dan cekap. Justeru itu, Smith (1997) dan Edward dan Monika (1995) telah menggariskan lima proses untuk menyelesaikan masalah. Proses-proses tersebut ialah mengenalpasti masalah, menganalisis masalah dan mengumpul data, membuat keputusan, mengenalpasti penyelesaian yang terbaik dan melaksanakan keputusan.


Pengenalan


Melihat kepada sejarah dari tahun 1945 hingga tahun 1995, Asia sebenarnya telah beralih daripada kemiskinan kepada kemewahan dan kekayaan. Malah Bank Dunia turut menegaskan bahawa dalam sejarah umat manusia tidak pernah sesebuah negara mencapai kemajuan sebegini. Nama Malaysia juga tidak terkecuali kerana ketika itu negara ini turut mewakili kelompok negara “harimau Asia” yang melambangkan sebagai sebuah negara yang begitu kukuh dan terserlah kepada dunia sama ada dari segi kemajuan ekonomi, politik dan budaya (Zainal Jumaat, 2007).

Namun begitu, menurut Md Shukri Shuib, pada Julia 1997, satu per satu mata wang negara-nagara di Asia Timar mengalami susutan nilai yang amat ketara. Kejatuhan nilai mata wang secara drastik berlaku tanpa mampu dikesan lebih awal, serta memberi impak yang besar ke atas pasaran sesebuah negara, seolah-olah telah diserang oleh spekulator mata wang. Negara Barat terutamanya Amerika Syarikat telah memporak-perandakan struktur politik-ekonomi-sosial yang dapat digelarkan sebagai elemem “trifungsi sejagat”. Pincangnya satu fungsi dalam “trifungsi sejagat” tersebut akan menyebabkan gugatan ke atas keseluruhan fungsi dalaman sesebuah negara.

Inilah bahayanya kegawatan ekonomi yang mampu merubah kehidupan sosial dan politik. Malaysia juga tidak terlepas daripada kegawatan ekonomi yang berlaku. Namun demikian, mujurlah dengan pelbagai pendekatan yang dilakukan secara tersusun oleh kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir pada masa tersebut telah membuahkan hasil yang positif. Sehingga kini, ”penawar kewangan” ala Mahathir telah dikaji oleh segenap lapisan ahli ekonomi dan politik (Md Shukri Shuib, 2007)

Ini jelas membuktikan bahawa Tun Dr. Mahathir mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah yang cekap dan tepat. Kemahiran ini adalah penting bagi seseorang pemimpin bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Oleh hal yang demikian, kertas kerja ini akan menyentuh dan membincangkan perkara-perkara seperti bagaimana Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) yang telah dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia mampu mendidik dan melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dalam era globalisasi. Selain itu, kertas kerja ini juga akan membincangkan mengenai apa itu kepemimpin, sifat-sifat pemimpin yang digemari oleh pengikut, sejarah PBL, objektif PBL, ciri-ciri PBL, perlaksanaan PBL, proses menyelesaikan masalah dan kelebihan PBL.


Kepimpinan

Menurut Ramaiah (1999) menyatakan bahawa kepimpinan adalah proses yang mempengaruhi aktiviti manusia yang ada kaitannya dengan apa yang mereka perlu lakukan ke arah mencapai objektif organisasi yang dianggotainya. Manakala Hersey (1982), kepimpinan adalah proses mempengaruhi pekerja untuk mencapai objektif organisasi. Hisham (1991), kepimpinan adalah proses menggerakkan tenaga manusia untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan tanpa sebarang tekanan atau paksaan. Koonts dan O’Donnel (1976) memberi tafsiran kepimpinan adalah kemahiran individu yang mempungaruhi ahli-ahlinya untuk menyelasaikan masalah (Saifullizam Puteh, 2006).

Ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan merupakan proses atau kaedah bagi seseorang pemimpin yang mengetuai sesuatu organisasi untuk mencapai matlamat yang telah dipersetujui dan ditetapkan. Fungsi utama seseorang pemimpin adalah mengubal visi dan misi organisasi yang dipimpinnya serta mencipta strategi-strategi bagi mencapainya. Ini bermakna para pemimpin akan menentukan hala tuju dan masa depan organisasinya (Ainon Mohd, 2003).


Sifat-sifat pemimpin

Adair (1983) dalam Mohd Salleh Tahar (2006) telah menggariskan bahawa seseorang itu dikatakan pemimpin sepenuhnya sekiranya seseorang itu mempunyai kriteria-kriteria berikut:
a) Berupaya mempengaruhi peristiwa, dan boleh mencetuskan perubahan
b) Mereka mempunyai hasrat yang tinggi untuk mencapai kesempurnaan tugas, kebolehan menggunakan proses kumpulan dan dapat pula membuat keputusan yang bijak. Pemimpin tulen mempunyai wawasan dan bertindak menjadikannya kenyataan.
c) Kebolehan membuat pertimbangan, inisiatif, intergriti, dapat melihat kemungkinan masa depan.
d) Pemimpin harus bertanaga, mempunyai dorongan, kemahiran perhubungan manusia, boleh membuat keputusan, boleh diharap dan mempunyai kestabilan emosi.
e) Mereka harus adil, bercita-cita tinggi, dedikasi, objektiviti dan boleh bekerjasama.
f) Dinamik, prigresif, mudah menyesuaikan diri, mudah dihubungi dan berpengetahuan.
g) Pemimpin juga harus bersifat toleransi, agresif, bertanggungjawab, dihormati, mudah bergaul, cekap, berdisiplin, bersimpati, tegas dalam hubungan mereka dan komited.

Secara umumnya, seorang pemimpin mestilah mempunyai ciri-ciri seperti berwawasan tinggi, berkemahiran dalam tugasnya, mempunyai kemahiran komunikasi dan motivasi serta mengamalkan cara berkomunikasi yang cekap. Selain itu, seseorang pemimpin mestilah mempunyai kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikannya. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila Abas Awang (1999) menyatakan bahawa antara ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin adalah berilmu, mempunyai etika yang tinggi, bijak membuat keputusan dan bersikap positif dan yakin. Manakala Institut Aminuddin Baki (1998) menyatakan pemimpin perlu ada matlamat yang jelas, mengamalkan cara berkomunikasi yang cekap dan mampu membuat keputusan secara konsensus. Mohd Salleh Tahar (2006) menyatakan pemimpin mesti mempunyai kemahiran berkomunikasi dan motivasi selain kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah (Mohd Salleh Tahar, 2006).

Ini jelas membuktikan bahawa seseorang pemimpin perlu ada kemahiran berkomukasi yang cekap, kemahiran berfikir yang tajam dan kemahiran menyelesaikan masalah yang baik. Justeru itu, sistem pendidikan negara kita perlu memainkan peranan bagi melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkaliber dan berketrampilan seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan Tun Hussien Onn.


Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)

Seperti yang diketahui umum, sistem pendidikan di Malaysia adalah berorentasikan peperiksaan iaitu pelajar wajib menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lazimnya digunakan ialah kaedah kuliah iaitu pembelajaran berpusatkan guru. Hasil dari pembelajaran kaedah pengajaran secara kuliah didapati masih terdapat kelemahan dalam melahirkan graduan yang menguasai kemahiran generik walaupun pencapaian akademik yang terbaik (Hasyamudin dan Rahifa, 2005).

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dalam kenyataan akhbar, menyatakan bahawa beliau mahu melihat perubahan dalam corak pendidikan agar melahirkan pelajar yang berani, mempunyai kemahiran dan berpengetahuan (Hasyamudin dan Rahifa, 2005).

Oleh hal yang demikian, para pendidik perlu mengorak langkah bagi membaiki dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya ianya seiring dengan teknologi terkini dan perkembangan semasa. Menjadi tanggungjawab pendidik untuk menggunakan dan mempelbagaikan kaedah P&P bagi melahirkan pelajar yang berkualiti. Antara kaedah P&P yang digunapakai ialah Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) yang merupakan salah satu contoh yang baik untuk proses pembelajaran secara pengalaman dan pendekatan berpusatkan pelajar. Di mana dalam kaedah PBL, pelajar akan berusaha untuk mencari maklumat dan menyelesaikan masalah dengan usaha sendiri. Proses tersebut akan menggalakan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif (KUiTTHO, 2005).

Diperkukuhkan lagi apabila Lynda Wee (2004) menyatakan bahawa PBL adalah satu pendekatan pemusatan pelajar yang merupakan pendekatan yang efektif dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, menggalakan penglibatan aktif, bekerjasama, maklum balas yang cepat terhadap proses pembelajaran, pemahaman yang mendalam terhadap subjek dan merujuk kesesuaian pembelajaran pelajar melalui pembelajaran kendiri.


Sejarah PBL

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) mula diperkenalkan dalam pembelajaran tradisional sekitar tahun 1960-an di McMaster University, Canada (Barrow & Tamblyn, 1980). Merujuk kepada buletin KUiTTHO (2005), kaedah ini diperkenalkan oleh Professor Howard Barrow. Pada mulanya, kaedah ini ditolak oleh semua orang. Namun begitu, beliau menggunakan kaedah ini kepada pelajar perubatan di bawah seliaannya dan mendapat reaksi yang positif di kalangan pelajar tersebut. Pendekatan ini telah membuka mata dan menarik minat para pendidik yang lain untuk menggunakannya. Kesannya, pendekatan ini telah digunapakai dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bilang kejuruteraan. Kini, Professor Barrow menjadi role model bagi PBL dan Universiti McMaster menjadi perintis kepada PBL. Selain itu, Don Wood merupakan bapa kepada PBL dalam bidang kimia. Beliau juga dari Universiti McMaster.


Objektif PBL

Menurut Barrow & Tamblyn (1980), antara objekif pendidikan kaedah ini diperkenalkan ialah:
a) Mengukuhkan kemahiran pelajar untuk mempelajari sesuatu prinsip, konsep dan belajar menggunakan maklumat dalam pelbagai situasi.
b) Memperkembangkan kemahiran pelajar memberi hujah dan pendapat, berfikiran kritis, serta kemahiran membuat keputusan.
c) Memperkembangkan kemahiran pelajar mengintegrasikan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu dan kefahaman yang baik tentang peranan sikap kemanusian terhadap kemajuan profesionalisme.
d) Menyediakan pelajar kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat.
e) Menggalakkan pembelajaran kumpulan kecil, keperluan kepada keberkesanan kerja berpasukan dan pembelajaran secara kolaboratif
(Barrow & Tamblyn dipetik daripada Suhaimi Makminin, 2005)


Ciri-ciri PBL

Definisi awal PBL memperkenalkan Model Klasik oleh Barrow dan Tamblyn, 1980 yang dinyatakan dalam penulisan Baden dan Mojor (2004) yang mempunyai ciri-ciri seperti:
a) Situasi masalah sebenar yang kompleks iaitu tidak mempunyai jawapan yang betul atau salah,
b) Pelajar bekerja dalam kumpulan untuk menangani masalah, mengenalpasti jurang pembelajaran dan mengembangkan pelbagai penyelesaian,
c) Pelajar memperolehi informasi baru melalui pembelajaran kendiri,
d) Pensyarah sebagai pembimbing,
e) Masalah akan memandu ke arah perkembangan keupayaan penyelesaian masalah ilmu perubatan.

Perlaksanaan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)

Menurut Lynda Wee (2004), terdapat tujuh langkah dalam menerangkan proses PBL. Langkah-langkah tersebut ialah seperti berikut:

a) Pembahagian Kumpulan

Pada peringkat ini, pelajar akan mengenali di antara satu sama lain dan pelajar akan membentuk kumpulan masing-masing. Seterusnya, ketua kumpulan dan pencatat akan dilantik dan peraturan-peraturan kumpulan akan dibentuk.

b) Mengenalpasti Masalah

Pelajar akan dikemukakan dengan masalah untuk diselesaikan. Pelajar perlu mengenalpasti dan mengesahkan masalah tersebut dan menyatakan masalah tersebut berdasarkan fakta-fakta yang diperolehi. Proses mengenalpasti masalah melibatkan elemen-elemen pencetus idea terhadap masalah yang ingin dikaji, juga dikenali sebagai trigger. Trigger boleh didapati dalam bentuk gambar, petikan surat khabar, klip video, petikan jurnal dan juga kejadian sebenar yang berlaku. Trigger ini akan menyebabkan sesuatu isu dipersoalkan, diperdebatkan dan memberi petunjuk kepada penyelesaian masalah tersebut.

c) Menjana Idea

Pada peringkat ini, pelajar akan mengeluarkan idea-idea yang dapat membantu dalam proses penyelesaian masalah tersebut.

d) Isu Pelajaran

Pelajar perlu mengenalpasti apakah yang perlu dipelajari dan mencari isu-isu yang dapat membantu mereka untuk menyelesaikan masalah serta mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan mengenalpasti tindakan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.

e) Pembelajaran Kendiri

Pada peringkat ini, pelajar akan mencari dan merumuskan informasi-informasi yang relevan dan logik dengan masalah yang diberikan.

f) Sintesis dan Aplikasi

Punca-punca informasi perlu disahkan kesahihannya terutamanya daripada Internet. Pelajar akan mula berkongsi maklumat dengan pelajar yang lain dan mengaplikasikan maklumat yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan berbincang, membangunkan penyelesaian dan membuat penerangan terhadap penyelesaian yang diambil.

g) Refleksi dan Tindak Balas

Pada peringkat ini, pelajar akan memberi tindak balas terhadap kerja kumpulan, kerja individu, penjanaan pengetahuan, penyelesaian masalah dan juga peranan fasilitator. Seterusnya, perbincangan akan dilakukan dalam kumpulan masing-masing.

Ini jelas menunjukkan bahawa kemahiran yang paling diperlukan ialah kemahiran menyelesaikan masalah. Diperkukuhkan lagi apabila Nor Ratna Masrom (2006) telah membuat kajian yang bertajuk "Problem Solving Skill in ICT and Multimedia Application” mendapati bahawa tanpa pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah, pelajar tidak mampu untuk melaksanakan dan mengaplikasikan kaedah PBL dengan sempurna dan cekap.


Proses Menyelesaikan Masalah

Menurut George Polya (1957), sesuatu masalah boleh diselesaikan melalui empat langkah penyelesaian iaitu:
a) Memahami masalah iaitu menentukan apa yang hendak diselesaikan dan maklumat yang berkaitan dengannya;
b) Menyediakan rancangan penyelesaian iaitu mencari perkaitan antara maklumat yang diberi dengan penyelesaian;
c) Melaksanakan rancangan iaitu melaksanakan apa yang dirancang dengan teliti, langkah demi langkah; dan
d) Menyemak jawapan iaitu menyemak ketepatan dan kesesuian hasil penyelesaian dengan apa yang hendak diselesaikan.
(Widad Othman, et al, 2003)

Menurut Razihan Abdul Jalil (2001) kaedah penyelesaian masalah merupakan salah satu kaedah yang dapat melibatkan aktiviti pelajar mencari maklumat untuk menyelesaikan masalah yang diberikan kepada mereka di samping memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman dan kemahiran (Mohd Khairuddin Abdul Karim, 2005). Berdasarkan Smith (1997) dan Edward dan Monika (1995) terdapat lima proses untuk menyelesaikan masalah. Proses-proses tersebut ialah:

a) Mengenalpasti Masalah

Pada peringkat ini, pelajar akan diberikan masalah untuk diselesaikan. Tugas pelajar adalah untuk mengenalpasti masalah yang diberi dan menjadikan masalah tersebut sebagai persoalan yang perlu diselesaikan. Kemudian, pelajar perlu membuat rumusan berdasarkan objektif masalah dan mengenalpasti sumber-sumber yang perlu digunakan untuk memperolehi maklumat yang benar, relevan dan penting untuk menyelesaikan masalah tersebut. Selain itu, pelajar perlu merancangan kaedah penyelesaian dari peringkat awal sehingga permasalahan tersebut dapat diselesaikan dengan sempurna. Menurut Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan, pada mulanya masalah dikenalpasti daripada segi struktur masalah dan dibuat definisi. Definisi yang tepat membantu pemahaman bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan memilih alternatif penyelesaian masalah yang tepat.

b) Menganalisis Masalah dan Mengumpulkan data

Pelajar perlu mengumpul data dan membuat penganalisian terhadap maklumat yang diperolehi. Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan terdapat pelbagai teknik pengumpulan data. Contohnya, gambar rajah tulang (analysis: couse dan effect), carta pareto, carta pai, carta aliran dan lain-lain.

Proses menganalisis masalah ini diperlukan bagi mengembangkan pemikiran dan mempertimbangkan semua kemungkinan. Objektif bagi peringkat ini adalah mencari punca masalah tersebut berlaku. Menurut Kirby, Gary R, dan Goodpaster, Jeffery. R (2002), sesuatu masalah itu tidak dapat diselesaikan sehinggalah punca masalah tersebut ditemui. Beberapa persoalan perlu ditanya sama ada apa, di mana, bila, siapa dan bagaimana masalah itu berlaku. Masalah dianalisis daripada pelbagai sudut seperti ataupun kepentingan masalah, pengalaman diri, tindak balas pihak lain, kos masalah, lokasi berlaku masalah, perbandingan dengan masalah lain dan sebagainya ( Mohd Azhar Abdul Hamid, 2003).

Pada peringkat ini, pelajar boleh mengsahkan kesahihan maklumat yang diperolehi dan mampu mengenalpasti penyarah yang boleh dirujuk untuk menyelesaikan masalah tersebut. Selain itu, pelajar mampu mencari punca utama masalah tersebut. Pelajar juga perlu berbincang dan berkongsi maklumat dangan ahli kumpulan yang lain serta perlu mamastikan sama ada maklumat yang dikumpulkan mencukupi ataupun tidak.

c) Membuat Keputusan

Pelajar perlu membuat pemilihan penyelesaian masalah dengan tepat dan pastikan penyelesaian yang dibuat merupakan penyelesaian yang terbaik. Disamping itu, pelajar perlu mempunyai alasan yang kukuh untuk menyokong penyelesaian yang diambil. Pemilihan penyelesaian ini dijana dengan menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan idea yang diperolehi berkualiti. Menurut Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan bahawa salah satu kaedah mencari penyelesaian adalah brainstorming. De Janasz, et al (2002), kaedah ini mengundang banyak ideea untuk menyelesaikan masalah kerana kaedah ini merupakan salah satu teknik di mana ramai orang dari satu kumpulan berkongsi idea terhadap suatu perkara tanpa mengkritik. Ini adalah supaya perbincangan terbuka di dalam kumpulan tersebut digalakkan bagi menghasilkan idea kreatif. Kaedah ini sesuai digunakan bagi masalah kumpulan.

d) Mengenalpasti Penyelesaian yang Terbaik

Kini, pemusatan pemikiran diperlukan bagi menilai, membanding dan menjalankan percubaan melaksanakan jalan penyelesaian (Mohd Azhar Abdul Hamid, 2003). Pada peringkat ini, pelajar perlu merancang bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan sewajarnya. Ini kerana, faktor paling penting dalam penilaian adalah kesan kepada jalan penyelesaian. Kesan ini terdiri daripada kesan posivif dan negatif. Oleh itu, pertimbangan yang teliti amat diperlukan bagi memastikan keputusan yang dipilih mempunyai kelebihan dan memberi manfaat kepada ahli kumpulan yang lain. Selain itu, pelajar seharusnya mampu untuk memastikan keputusan yang dipilih boleh mengembangkan atau menghadkan penyelesaian masalah serta keputusan yang dipilih merupakan alternatif yang terbaik.

e) Melaksanakan Keputusan

Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan bahawa keempat-empat peringkat di atas hanya terkandung dalam peringkat perancangan. Selepas penentuan alternatif jalan penyelesaian, ianya perlu dilaksanakan dengan teknik yang betul dan tepat. Ini juga membantu penyelesaian masalah bagi mengorganisasikan proses pelaksanaan dan menguji sama ada hasil yang dijangka dapat dijana atau tidak.


Kelebihan PBL

Menurut Montgomery (2000), antara kelebihan utama PBL berbanding strategi pembelajaran lain yang dicadangkan oleh teori konstruktivisme ialah rangsangan atau stimulasi yang berjaya dihasilkan olehnya dalam membentuk kognitif pelajar agar lebih bersifat ingin tahu. Ini seterusnya menurut mereka berjaya meningkatkan minat atau motivasi pelajar untuk terus belajar. Masalah yang menyerupai masalah dunia sebenar yang digunakan pula membolehkan pelajar mencuba pelbagai jalan penyelesaian dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selamat (Jamalludin Harun, et al, 2005).

Prof Madya Dr Khairiyah Mohd Yusof di dalam Berita Harian 25 Jan 2007, menyatakan keinginan menyelesaikan masalah mendorong pelajar melaksanakan pembelajaran kendiri dan pengajaran antara rakan sebaya (peer teaching) dalam kumpulan dan antara kumpulan. Pelajar yang melalui PBL dapat membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Tse dan Chan, (2003) menyatakan bahawa kaedah PBL sangat berkesan dalam meningkatkan pemahaman dan pengetahuan teknikal pelajar. Melalui kaedah ini, setiap pelajar diberi banyak peluang untuk mempraktikan teknik pembelajaran kendiri yang merupakan elemen penting dalam menentukan kerjaya masa depan mereka. Selain itu, kebolehupayaan pembelajaran pelajar dapat ditingkatkan melalui kerjasama dalam kumpulan yang diamalkan untuk subjek kejuruteraan.

Secara amnya, jelas membuktikan bahawa Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) mampu untuk melahirkan dan mendidik pelajar menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah. Selain itu, pelajar dapat meningkatkan minat dan motivasi untuk terus belajar, membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Oleh hal demikian, pelajar dapat meningkatkan pemahaman dan pengetahuan isi pelajaran bagi sesuatu matapelajaran dengan mudah dan mendalam. Secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar tersebut. Penyataan ini disokong dengan kajian yang dilakukan oleh Ward dan Lee (2004) menyatakan bahawa pelajar yang mengikuti kaedah PBL dapat memahami isi pelajaran dengan lebih mendalam bagi matapelajaran Teknologi Makanan dan Nutrisi.

Banyak kajian yang membuktikan bahawa kaedah PBL mampu meningkatkan kemahiran generik para pelajar terutamanya dalam kemahiran menyelesaikan masalah. Kenyataan ini disokong oleh Hasyamuddin dan Rahifa (2005) bertajuk “Kemahiran Generik Dalam Kelas Bercirikan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) di Kalangan Pelajar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) mendapati bahawa PBL membantu pelajar dalam memperolehi kemahiran generik dan penglibatan aktif dalam kelas berbanding pelajar yang menggunakan kaedah kuliah.


Kesimpulan

Kesimpulannya, kaedah PBL banyak menekankan dan menitikberatkan cara pelajar menganalisis masalah dan menyelesaikannya. Kemahiran ini adalah penting bagi melahirkan dan mendidik bakal-bakal pemimpin yang bertanggungjawab dan berkeyakinan dalam menyelesaikan masalah dan mampu untuk membuat keputusan yang tepat dan adil. Secara amnya, kaedah PBL boleh dijadikan salah satu pendekatan dan latihan yang berkesan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang mempunyai jati diri yang kuat, berwawasan tinggi, mengamalkan cara komunikasi yang betul, dan berkemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan tepat. Ciri-ciri tersebut merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin yang disenangi dan disukai oleh pengikut-pengikutnya. Oleh hal yang demikian, orang-orang yang dipimpin akan lebih menghormati dan berasa selamat di bawah jagaannya.


Rujukan

Ainon Mohd. (2003). ” Teori dan Teknik Kepimpinan Panduan Aplikasi di Tempat Kerja”. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd: Pahang.
Baden, M.S & Major, C.H. (2004).”Foundation of Problem-Based Learning”. USA: Mc Graw Hill Education.
Berita Harian 25 Jan 2007. “Pembelajaran Berpasukan Bentuk Kemahiran Insan”. Oleh Muhammad Amir.
Borrows, H.S., (1996). “Problem Based Learning in Medician and Beyond: A Brief Overview dalam Wilkerson, L.A and Gijselaers W.H. Bringing Problem Based Learning to Higher Education: Theory and Practice”. San Francisco: Jossey Bass Publishers. 3-12
De Janasz, Suzanne, C. et al (2002). “ Interpersonal Skill in Organization”. USA: Mc Graw Hill.
Edward, L., Monika, L. (1995). “Creative Problem Solving: Thinking Skill for A
Changing Wold”. USA: Mc Graw Hill
Hasyamudin Othman dan Rahifa Mustafa. (2005). Kertas Kerja Perbentangan “Kemahiran Generik dalam Kelas Bercirikan Pembelajaran Berasaskan-Masalah (PBL) di Kalangan Pelajar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein ONN (KUiTTHO)”.
Kirby, Gary, R. & Goodpaster, Jeffery, R. (2002). “Thinking”. USA: Prentice Hall.
Koonts dan O’Donnel. (1976).”Management: A system and Contigency Analysis of Managerial Functions”. Mc Graw Hill: New York, Vol 6.
KUiTTHO. (2005). “Problem-Based Learning: 10 Disember 2004. Buletin Pusat Pengajaran dan Pembelajaran”. Vol 3. pg 5.
KUiTTHO. (2005). “Hasil Lawatan Universiti Aalborg: 20 Ogos 2004. Buletin Pusat Pengajaran dan Pembelajaran”. Vol 3. pg 15-16.
KUiTTHO. (2005). “Power of PBL: Buletin Pusat Pengajaran dan Pembelajaran”. Vol 3. pg 14.
KUiTTHO. (2006). “Dari editor: oleh Azrai”. Vol 4. pg 1
KUiTTHO. (2006). “Singapure: Lawatan PBL. Buletin Pusat Pengajaran dan Pembelajaran”. Vol 4. pg 6.
KUiTTHO. (2006). “Seminar Problem-Based Learning in Engineering. Buletin Pusat Pengajaran dan Pembelajaran”. Vol 4. pg 11-12.
Lynda Wee (2004). “Jump Start Authentic Problem Based Learning.” Singapura: Prentice Hall.
Md Shukri Shuib. (2007). “Dewan Ekonomi: Sepuluh Tahun Kejayaan Pascakegawatan 1997”. Julai. 7-10
Mohd Azhar Abdul Hamid. (2003). “Meningkatkan Daya Berfikir”. Bentong: PTS Publication and Distribution Sdn Bhd
Mohd Khairuddin Abdul Karim (2005). “ Pencapaian Pelajar Berdasarkan Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM) Berbanding Kaedah Kuliah Bagi Matapelajaran Pengurusan dan Organisasi Tapak di Kalangan Pelajar Kejuruteraan Awam” Tesis Ijazah Sarjana.
Mohd Salleh Tahar. (2006). “Kepimpinan Pengurusan dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional”. Johor: Kolej Universiti Teknologi Tun Hussien Onn Malaysia (KUiTTHO).
Nor Ratna Masrom. (2005) Kertas Kerja Perbentangan “Problem Solving Skill in ICT and Multimedia Application”.
Ramaiah A. L. (1999). ”Kepimpinan Pendidikan, Cabaran Masa Kini. Kuala Lumpur: IBSB Buku Sdn. Bhd.
Saifullizam Puteh. (2006). “Pengurusan Kokurikulum”. Johor: Kolej Universiti Teknologi Tun Hussien Onn Malaysia (KUiTTHO).
Smith, S. (1997). “ Solve That Problem: Readymade Tools for Continuous Improvement”. London: Kogen Page Limiten.
Suhaimi Makminin (2005). Kertas Kerja Pembentangan “Pembelajaran berasaskan Masalah dalam Kursus Kimia Diploma: Pengelaman Pertama di KUiTTHO”.
Tse, W.L. & Chan. W. L.(2003) “Application of Problem-Based Learning in an Engineering Course Department of Electrical Engineering, Hong Kong Polytechnic University”. Hong Kong: Int. J. Engng Ed. Vol. 19, No. 5, pp. 747-753.
Widad Othman, et al. (2003). “EDUE 2015: Perancangan Kurikulum Pendidikan Teknik dan Vokasional”. Kuala Lumpur: Univision Press Sdn. Bhd.
Zainal Jumaat. (2007). “Dewan Ekonomi: Malaysia Keluar daripada Krisis Ekonomi 1997”. Julai. 11-14

16 comments:

Marini said...

sekiranya PBL dilaksanakan dgn serius di negara kita insyaAllah peljar di Malaysia mampu menggunakan akal yang dikurniakan dengan sewajarnya...

Nurulhuda Abdul Rahman said...

Wah..wah.. teringat plak aku kat PS....

Sarah Ismail said...

hehehe, saje je kasi memori tue segar dlm ingatan...hahaha betapa peritnye melalui susah payah PS..hahaha

maizatul_wawa said...

its really interesting...say apun tgh buat kajian pasal PBL, boleh tak saya guna artikel ni sebagai rujukan? Anyway thanks a lot :)

Anonymous said...

Pn Maisarah,

Saya kagum dengan kupasan dan bahan yang anda ketengahkan.Sementelah pada masa kini saya juga sedang jalan kan kajian berkaitan PBL tetapi dalam konsep persekitaran dalam subjek persekitaran di Institusi Pendidikan di Malaysia.Saya adalah pelajar Ijazah Phd dari USM. Bahan anda dapat membantu dalam kajian saya sedikit sebanyak...
Jazakallahukhairan Kathir.....Jika ada kelapangan saya akan contact Pn....Wasallam

mai said...

tq sbb post artikel yg boleh dijadikan rujukan assigment.. huhuhu..

Sarah Ismail said...

terima kasih kerana menghargai kertas kerja ini. untuk pengetahuan, tajuk Projek Sarjana saya menjurus kepada PBL. dan saya mengharapkan perkongsian ilmu ini membawa manfaat kepada semua.

dare_devil said...

smart!!

Anonymous said...

kupasan padat, bermakna dan ilmiah...tq

Anonymous said...

penulisan yang sangat padat dan mudah faham..
izinkan saya gunakan artikel ini sebagai rujukan untuk proposal master saya..
tq...
-alina,ipoh-

Anonymous said...

assalamualaikum...kakak, sy mtk izin copy tentang pembelajaran berasaskan masala (PBL) utk rujukan assignment sy..mekaseh..semoge Allah balas dengan sebaik- baik kebaikan..insyaAllah

farahin@eiyn- IPG kampus Kota Bharu

Anonymous said...

menarik tajuk ini..mohon perkongsian

Anonymous said...

saya mohon kalau ada contoh pelaksanaan PBL dalam mata pelajaran di sekolah..terutamanya bahasa melayu..untuk membantu murid yg lemah dlm bahasa melayu terutamanya penulisan dan pemahaman.

Anonymous said...

salam.minta izin guna artikal puan. tq

Anonymous said...

sangt bterima kasih kpd puan dengan perkongsian mengenai pbl..mohon perkongsian utk rujukan assignment ya..tqvm..^_^

tira said...

bezz topik nie... :-D thankz

Post a Comment

Back to Top