Lilypie First Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Penyebaran Maklumat Melalui Media Massa (Internet): Kebaikan dan Keburukan Serta Mampukah Ia Dikawal?

Artikel ini dikarang bagi memenuhi tugasan subjek Teknologi Pendidikan dalam PTV (MBE1052) di bawah bimbingan Tn Hj Iliyas Hj Hashim (sem 1 Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional). Dengan izin ALLAH, saya berjaya menyiapkannya. Secara peribadi, perkara yang menarik mengenai artikel ini ialah menceritakan bagaimana hasil perkembangan penggunaan internet dapat lahirnya tokoh perisian bebas yang disegani seperti Richard Stallman yang juga dikenali sebagai Bapa Perisian Bebas dan bagaimana dua negara seperti Wales dan Nepal yang mempunyai perbezaan geografi mampu menggunakan kecanggihan ini dalam bidang pertanian. Di mana Wales terletak di sempadan dengan United Kingdom (UK) yang sentiasa mendapat pendedahan teknologi terbaru. Manakala Nepal merupakan negara yang paling miskin di dunia dan ekonomi negaranya bergantung kepada hasil perlancongan yang tertumpu di Banjaran Himalaya. Selain itu juga, ia memaparkan hasil kajian Center for Online Addiction yang menyatakan bahawa terdapat pelbagai jenis ketagihan dan ianya boleh diklasifikasikan kepada lima kategori utama. Untuk mengetahui butiran yang lebih lengkap, silalah baca artikel tersebut... Selamat Membaca...

Ditulis oleh: Maisarah Binti Ismail (GB 060122)

Abstrak - Internet merupakan rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pengkalan data dari seluruh dunia. Enjin carian yang popular dan sering digunakan oleh pelayar siber ialah google, yahoo dan MNS. Terdapat beberapa kebaikan menggunakan perkhidmatan ini. Antaranya ialah dapat mencari dan berkongsi maklumat dengan menggunakan enjin carian dan digunakan untuk memperkembangkan bidang pertanian serta perdagangan. Selain itu, perkhidmatan ini juga digunakan dalan bidang pendidikan di Malaysia. Manakala keburukan penyebaran maklumat melalui internet ialah dapat mengancam keselamatan manusia dan dunia serta masalah sosial kanak-kanak semakin meningkat. Penggunaan perkhidmatan ini secara berlebihan akan menyebabkan ketagihan internet. Terdapat lima kategori ketagihan dan empat simptom dan tanda-tanda ketagihan internet tersebut. Oleh sebab itu, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengawal dan mengurangkan masalah yang timbul disebabkan oleh internet ini terutamanya ibu, bapa dan penjaga serta pihak yang berkuasa seperti pihak kerajaan.


Pendahuluan

Apabila dipersoalkan dan dibangkitkan mengenai isu ini, ramai akan menyatakan bahawa isu ini merupakan isu lama dan sudah lapuk. Namun, masih terdapat perkara-perkara yang menarik dapat dikongsi bersama. Sebelum itu, alangkah baiknya sekiranya, kita mengetahui makna media massa secara tepat dan jelas. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, makna media massa merupakan pelbagai jenis alat komunikasi (seperti televisyen, radio, surat khabar, majalah dan sebagainya) yang dapat menyampaikan maklumat (berita dan sebagainya) kepada orang ramai dengan cepat (dalam masa yang singkat), sebaran am.

Fokus penulisan ini lebih menitikberatkan tentang isu internet mengenai kebaikan dan keburukan penyebaran maklumat serta mampukan penyebaran tersebut dikawal. Internet (menurut Kamus Dewan Edisi Keempat) memberi maksud rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pengkalan data dari seluruh dunia.

Kecanggihan dunia Teknologi Maklumat (IT) pada masa kini tidak dapat disangkal lagi. Ini terbukti dengan perkembangan tanpa wayar (wireless) di Malaysia dan wujudnya istilah-istilah seperti WiFi, Bluetooth, 3G, PDA, SMS dan MMS. WiFi dan Bluetooth digunakan untuk mentransmisikan data secara jarak dekat. Wifi atau dikenali sebagai Hotspot digunakan dalam rangkaian WLAN (Wireless Local Area Network), manakala Bluetooth digunakan dalam rangkaian PAN (Personal Area Network). Jarak gelombang Bluetooth adalah lebih pendek daripada jarak gelombang WiFi dan jumlah peranti dalam rangkaian adalah terhad berbanding dengan Wifi pada satu-satu masa (K.Nizam,Jan 2006).

Perkembangan Hotspot di Malaysia pada tahun 2003 menyaksikan bahawa banyak pusat hotspot dibuka terutama di kawasan Lemah Kelang. Di mana lokasi tersebut merupakan tempat tumpuan umum misalnya kolej swasta, kafe, lapangan terbang dan pusat seminar / konvensyen (K.Nizam, 2006). Antara syarikat yang menyediakan perkhidmatan wireless ialah Maxis, Airzed, TMNet dan Time.

Menurut K.Nizam (Jan, 2003), perkembangan wireless di Malaysia disebabkan oleh tiga faktor yang utama iaitu insfastuktur, perkakasan dan perisian, dan pengguna. Penyedia perkhidmatan perlu memastikan teknologi yang ingin digunakan (seperti Wifi) dapat berfungsi sepenuhnya sebelum diperkenalkan kepada pengguna. Di samping itu, penyedia perkhidmatan perlu menjalinkan kerjasama dengan pembangun perkakasan dan perisian untuk menghasilkan produk yang serasi dengan teknologi terkini. Faktor terpenting ialah faktor pengguna kerana golongan inilah yang akan menentukan kedudukan pasaran industri wireless secara global.

Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan Internet di serata dunia semakin meluas dan bilangan pelayar siber semakin bertambah. Majalah PC keluaran Ogos 2006 dalam ruangan Fokus menyatakan bahawa dari tahun ke setahun pelayar siber ini semakin bertambah terutama dari luar Amerika Syarikat dan ini membuatkan jumlah pengguna internet dunia tertumpu di Asia dan Eropah. Hasil kajian yang dibuat oleh .comScore World Metrix mengumumkan bahawa seramai 694 juta orang menggunakan internet seluruh dunia daripada semua lokasi. Hanya 25% daripada jumlah pengguna dalam talian seluruh dunia (atau 168.1 juta orang) adalah dari Asia dan 11% daripada jumlah pengguna adalah dari penduduk Amerika Syarikat (152 juta pengguna). Selain itu, comScore juga mengeluarkan senarai 15 negara menurut jam penggunaan Internet setiap pengguna untuk Mac 2006. Israil mendahului senarai dengan purata 57.5 jam dan diikuti dengan Finland sebanyak 49.3 jam serta South Korea iaitu 47.2 jam.

Hasil perkembangan penggunaan internet juga dapat dilihat daripada lahirnya tokoh perisian bebas yang disegani seperti Richard Stallman. Beliau juga digelar sebagai Bapa Perisian Bebas. Menurut Red Rockhopper (Feb, 2006), Richard Stallman sering terlibat dalam misi memberitahu dan menyedarkan orang ramai bahawa betapa pentingnya penggunaan perisian sumber terbuka. Beliau juga menyenaraikan empat jenis kebebasan yang utama apabila menggunakan sesuatu jenis perisian, iaitu:
1) Kebebasan untuk menggunakannya, mengikut kehendak sendiri.
2) Kebebasan untuk mempelajari kod sumber dan peluang untuk mengubah kod sumber mengikut kehendak anda.
3) Kebebasan untuk menyalin perisian tersebut serta menyebarkan salinan itu kepada sesiapa yang anda kehendaki.
4) Kebebasan untuk menyebarkan atau menerbitkan semula menerbitkan semula versi yang diubah, mengikut kehendak anda.

Richard Stallman menegaskan bahawa perisian dan sesuatu aplikasi itu menjadi perisian bebas apabila memenuhi keempat-empat jenis kebebasan yang telah disebutkan seperti diatas.


Kebaikan penyebaran maklumat melalui Internet

Mencari dan Berkongsi Maklumat

Penggunaan internet merupakan satu kelebihan kepada sesiapa yang celik IT. Ia memudahkan pencambahan ilmu dan maklumat. Menggunakan enjin pencarian seperti google, yahoo dan sebagainya adalah penting kerana ia dapat membantu kita mencari maklumat dengan kadar yang pantas dan cepat. Antara fakta yang menarik mengenai enjin pencarian (K.Nizam, Jun 2006) ialah menurut kajian yang dilakukan oleh US Pew Research, 84% pengunjung internet lazimnya membuat carian menerusi enjin carian terkenal seperti Google (http://www.google.com/), Ask Jeeves (http://www.ask.com/), MSN (http://www.mns.com/) dan yahoo (http://www.yahoo.com/).

Selain itu, 44% dari pengunjung internet menggunakan satu enjin carian sahaja semasa melakukan sesuatu carian. Separuh lagi pengunjung internet membuat carian dengan menggunakan dua atau tiga enjin carian manakala hanya sekelompok kecil sahaja yang menggunakan lebih dari tiga enjin carian pada satu-satu masa untuk membuat carian. Dari segi perbezaan jantina pula, golongan lelaki lebih banyak menggunakan enjin carian secara harian berbanding dengan golongan wanita iaitu sebanyak 4% manakala hanya 27% bagi golongan wanita.

Menurut Berita Mingguan bertarikh 6 Ogos 2006 menyiarkan mengenai fakta bilangan bloggers. Fakta tersebut mengumumkan bahawa seramai 70 juta orang bloggers di seluruh dunia dan hanya 10 000 orang bloggers sahaja yang berdaftar di Malaysia. Peningkatan bilangan blog dan laman web di seluruh dunia mungkin disebabkan oleh penciptaan perisian yang percuma untuk membina laman web di dalam internet dan cara untuk membinanya semakin mudah sehinggakan kanak-kanak sekolah rendah pun mampu untuk membina laman web yang cantik.

Tujuan pembinaan laman web dan blog adalah untuk menarik dan membolehkan pelawat dan pemilik blog dapat berkongsi maklumat dan ilmu yang ingin disebarkan. Sebagai contoh bagi laman web yang dibina khas untuk permainan komputer dapat memudahkan peminat dan penggemar permainan komputer ini mengikuti perkembangan semasa mengenai permainan komputer yang baru dipasaran.

Bidang pertanian

Perkembangan teknologi tanpa wayar di Malaysia telah banyak membantu dan memudahkan golongan profesional dan pelajar yang sentiasa mengadakan temujanji dan urusan yang melibatkan kerja-kerja luar. Namun, bagi negara Wales dan Nepal (K.Nizam, Jun 2006) menggunakan kecanggihan ini dalam bidang pertanian. Kedua-dua negara tersebut mempunyai perbezaan yang ketara dari segi kedudukan goegrafi. Di mana Wales terletak di sempadan dengan United Kingdom (UK) yang sentiasa mendapat pendedahan teknologi terbaru. Manakala Nepal merupakan negara yang paling miskin di dunia dan ekonomi negaranya bergantung kepada hasil perlancongan yang tertumpu di Banjaran Himalaya.

Antara objektif penggunaan wireless di negara Wales ialah bagi membantu petani meningkatkan hasil pertanian, bertukar-tukar maklumat dengan petani yang lain dan membolehkan mereka berurusniaga secara langsung dengan syarikat lain secara maya. Selain itu, penggunaan internet dapat mengurangkan penggunaan kertas dan birokrasi serta membantu petani mendapatkan polisi atau dasar-dasar yang terkini yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Manakala petani di Nepal menggunakan perkhidmatan wireless ini adalah untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga kerana keadaan geografinya yang bergunung-ganang. Mereka juga menggunakan internet untuk mendapatkan tips penjagaan ternakan, berurusniaga hasil ternakan dan mengadakan persidangan video menerusi aplikasi NetMeeting yang sedia ada (K.Nizam, Jun 2006).

E-dagang

Perdagangan Elektronik (E-dagang) (Majalah PC, Mei 2006) adalah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat yang canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi. Sistem ini banyak menggunakan internet khususnya Web untuk mengadakan satu rangkaian yang menyatukan dan menghubungkan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai.

Terdapat dua jenis utama e-dagang iaitu di antara peniaga dan peniaga, dan di antara peniaga dan pengguna. Antara kebaikan dan keuntungan menggunakan kaedah e-dagang ialah perangkaian dan integrasi di antara semua syarikat-syarikat yang berhubung baik dengan pembeli, penjual ataupun penyedia perkhidmatan berkenaan. Ia memudahkan pertukaran maklumat dan transaksi perniagaan dapat dijalankan dengan sekelip mata serta tidak dibelenggu dengan kerenah pengisian borang-borang dan birokrasi (Majalah PC, Mei 2006).

Pendidikan jarak jauh

Kerka (1996) mendefinasikan pendidikan jarak jauh (PJJ) sebagai pengajaran yang berlaku apabila guru dan pelajar dipisahkan oleh tempat dan masa. Dengan perkembangan teknologi maklumat, pengajaran melalui PJJ disampaikan melalui media seperti internet dan video. Bagi merealisasikan konsep pengajaran dan pembelajaran dalam talian (Hizamnuddin Awang, Mac 2006) yang benar-benar hidup, gabungan peranan ramai pihak seperti pengajar, pereka bentuk khusus, juruteknik, pentadbir dan pelajar harus digembleng bagi memastikan kursus pendidikan jarak jauh berkesan dan berjaya.

Secara asas konsep pendidikan dalam talian jarak jauh (Hizamnuddin Awang, Mac 2006) melibatkan pelajar dan pengajar yang dipisahkan oleh faktor masa dan jarak serta menggunakan teknologi terkini dalam melaksanakan urusan. Oleh sebab itu, internet digunakan secara khusus bagi membolehkan semua urusan pengajaran dan pembelajaran sepanjang sesi pengajian ini dilaksanakan. Ia juga dikenali sebagai pendidikan maya (virtual education).

Hizamnuddin Awang (2006) telah menyatakan dalam artikelnya bahawa terdapat dua faktor yang menyumbang kepada perkembangan PJJ di Malaysia. Pertama, kita telah berada di era maklumat dan kedua ialah ciri demografi pelajar di Malaysia. Kebanyakkan pelajar PJJ di Malaysia merupakan pelajar yang sudah berkahwin, mempunyai anak dan bekerja sepenuh masa.

Keburukan Internet

Mengancam keselamatan manusia dan dunia

Akhbar Berita Mingguan bertarikh 6 Ogos 2006 (Ahad) dalam ruangan Rencana membangkitkan isu kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah. Ruangan tersebut ada menyiarkan bahawa terdapat sesetengah penguna internet menggunakan laman web, e-mel dan blog sebagai satu saluran untuk memfitnah dan menghasut. Lebih membimbangkan lagi apabila saluran ini boleh melahirkan budaya melempar batu sembunyi tangan. Budaya tersebut semakin berleluasa sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat serta mencetus kemarahan orang lain yang membacanya.

Bagi memperkukuhkan lagi isu ini, Perdana Menteri pernah berkata bahawa kerajaan akan memantau masalah itu dengan teliti kerana penyebaran berita palsu dan negatif boleh menimbulkan kekacauan, kehilangan kepercayaan tehadap kerajaan selain menyebar khabar angin. Beliau dengan tegas menambah bahawa orang yang menyebar benda tidak betul perlu ditahan dan diperiksa. Beliau juga berkata kita tidak boleh jadikan internet atau SMS (khidmat pesanan ringkas) sebagai peluang untuk menyebarkan apa saja mengenai orang lain atau melakukan ugutan (www.bharian.com).


Ketagihan Internet

Menurut kajian Center for Online Addiction (Majalah PC, Mei 2006) terdapat pelbagai jenis ketagihan dan ianya boleh diklasifikasikan kepada lima kategori utama iaitu:
1)Ketagihan mendapat maklumat- ia merujuk kepada individu yang menggunakan internet untuk mencari sesuatu maklumat dengan kadar yang berlebihan
2)Ketagihan menggunakan komputer - ia merujuk kepada individu yang menggunakan komputer secara berlebihan terutamanya mereka yang terlibat dalam pengaturcaraan dan permainan komputer
3)Ketagihan bahagian-bahagian tertentu dalam internet - ia merujuk kepada individu yang gemar berkunjung ke bahagian-bahagian tertentu dalam internet misalnya ruangan perjudian, permainan online dan barangan lelong.
4)Ketagihan hubungan siber – ia merujuk kepada individu yang gemar menjalinkan hubungan secara online menerusi ruangan bilik sembang seperti IRC, ICQ, forum dan kumpulan-kumpulan diskusi privasi
5)Ketagihan seksual siber - ia merujuk kepada individu yang gemar meneroka ruangan pornografi serta ruangan sembang dewasa yang membincangkan hal-hal seksualiti secara terbuka

Berikut adalah merupakan simptom atau tanda-tanda bagi mereka yang mengalami ketagihan internet (Majalah PC, Mei 2006):
1)Sentiasa memikirkan tentang internet, berkhayal tentang apa yang berlaku dalam dunia siber dan merasa rugi atau kecewa sekiranya tidak menggunakannya.
2)Merasa gelisah atau tidak tentu arah sekiranya tidak menggunakan internet.
3)Sukar untuk berhenti dari menggunakan internet walaupun setelah menggunakannya berjam-jam lamanya.
4)Mengalami gangguan psikomotor misalnya bahagian jari sering mengajuk perbuatan menekan papan kunci atau tetikus.

Kesan (Majalah PC, Mei 2006) dari ketagihan ini boleh menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan, kemurungan dan suka menyendiri disebabkan jarang bergaul dengan masyarakat dan rakan-rakan. Menurut Dr. Kimberly Young, pakar psikologi, menerusi kajiannya mendapati bahawa pesakit IAD ini biasanya mengalami masalah yang sama dengan seperti mereka yang mengalami penyakit ketagihan arak misalnya keruntuhan rumahtangga, kemerosotan pelajaran dan juga masalah sosial.


Masalah sosial kanak-kanak

Kanak-kanak pada masa kini cepat terpengaruh dengan kecanggihan penggunaan internet. Ini membolehkan mereka melayari internet mengikut citarasa masing-masing seperti yang dilakukan oleh orang dewasa. Menurut Neil Postman dalam bukunya yang bertajuk ”The Disappearance of Childhood” (Lenyapnya Masa Kanak-Kanak) menyatakan bahawa kanak-kanak pada masa kini tidak mempunyai dunia kanak-kanak mereka sendiri disebabkan tiada batasan antara dunia kanak-kanak dengan dunia orang dewasa
.
Masalah sosial yang lain ialah kanak-kanak tidak mahu mendengar nasihat orang dewasa kerana keasyikan melayari internet terutama apabila menggunakan aplikasi sembang (chat) dan permainan komputer. Melalui aplikasi sembang (chat), kanak-kanak akan terdedah dengan ancaman sebenar (Majah PC, Ogos 2006), misalnya orang dewasa menyamar sebagai orang dewasa dan meminta maklumat peribadi, mengajak pertemuan di luar talian dan sebagainya.


Mampukah Internet dikawal?

Ibu, bapa dan penjaga.

Majalah PC keluaran Ogos 2006 dalam ruangan Dunia IT telah menggariskan beberapa langkah dan panduan yang boleh diambil oleh ibu, bapa dan penjaga bagi manangani ancaman terhadap kanak-kanak. Antaranya ialah:
1)Menyediakan panduan yang jelas mengenai tingkah laku kanak-kanak ketika dalam talian. Ini bermaksud, penjaga boleh mengarahkan kanak-kanak tersebut supaya tidak memberi maklumat-maklumat peribadi seperti alamat rumah, nama penuh, nombor telefon dan sebagainya.
2)Penjaga perlu mengawasi aktiviti seperti membuat kiriman gambar, mengatur perjumpaan bersemuka dan berborak secara berlebihan.
3)Melaporkan sebarang cubaan untuk memaksa kanak-kanak membuat pertemuan secara bersemuka kepada pihak berkuasa sekiranya keadaan mendesak. Penjaga boleh membuat aduan dan melaporkan kes tersebut kepada pihak penyedia khidmat internet (ISP).
4)Panjaga perlu menemani kanak-kanak semasa melayari internet untuk mengelakkan mereka memasuki laman-laman web yang sepatutnya seperti laman web porno.
5)Penjaga perlu menggunakan perisian kawalan yang sesuai bagi mengawal dan menapis bahan-bahan porno.

Kerajaan dan pihak berkuasa.

Berita Mingguan bertarikh 6 Ogos 2006 (Ahad) dalam ruangan Berita Utama yang bertajuk ”Kabinet Mahu Blog Internet Dipantau” menunjukan bahawa kerajaan dengan tegasnya akan mengambil tindakan yang sesuai terhadap penulis blog yang melanggar undang-undang negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak boleh membiarkan internet menjadi alat menyebarkan perkara tidak betul kerana ia akan mencetuskan kekacauan sehingga memberi kesan terhadap ekonomi dan pembangunan negara. Justeru itu, PM memberi sepenuh kuasa kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk mengawasi semua blog dalam internet serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesalah-pesalah tanpa mengikut pangkat dan keturunan.

Bagi kerajaan Singapura dan China, mereka telah cuba menyenarai hitam laman web atau pautan internet tertentu yang telah dikenalpasti oleh pihak kerajaan. Malangnya cara ini tidak menjadi masalah bagi pengguna yang arif mengenai penggunaan pintu belakang atau laman proksi untuk melayari laman web tersebut.

Pengurus Besar Infodynamic Computer Syetems (Infodynamic), Vallabhai B Patel, berkata internet adalah media bebas yang boleh dikendalikan dari mana-mana atas dasar kebebasan berkomunikasi dan usaha mengawalnya bukan saja tidak masuk akal, malah mustahil dilakukan. Pada pendapat beliau, lebih baik jika diwujudkan satu program memupuk kesedaran masyarakat umum mengenai penggunaan internet secara berhemah (www.bharian.com).

Namun sesetengah pihak memberi cadangan supaya pemilik blog perlu mendaftarkan profil seperti yang diwajibkan bagi pengguna telefon bimbit prabayar. Jesteru itu, kawalan yang aktif dari pihak kerajaan adalah penting supaya masalah ini dapat diatasi dan keharmonian negara dapat dijaga (www.bharian.com).


Penutup

Perkembangan teknologi maklumat yang pesat banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan keharmonian sejagat. Malangnya masih terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan perkhidmatan internet mengikut kehendak dan kepentingan individu dengan menyebarkan fitnah dan khabar angin yang tidak berasas. Oleh sebab itu, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk mengawal dan mengatasi masalah yang timbul demi kesejahteraan sejagat.


Rujukan

Hizamnuddin Bin Awang. (2006). ” Pembelajaran Sepanjang Hayat Dengan Kemudahan Teknologi”. Majalah PC. 111 . 36-37.
Jalai.(2006). ” Mari Mencipta Blog”. Majalah PC. 110. 22-24
K.Nizam.(2006). ” Teknologi Tanpa Wayar Membantu Petani”. Majalah PC. 114. 50-51.
K.Nizam.(2006). ” Fakta Menarik Tentang Enjin Carian”. Majalah PC. 114. 23-24.
K.Nizam.(2006). ” Podcast: Blog Penyiaran Popular”. Majalah PC. 110. 28-29.
K.Nizam.(2006). ” Sejarah dan Perkembangan Wireless Tempatan”. Majalah PC. 109. 42-43.
Majalah PC. (2006). ” Penggunaan Internet Seluruh Dunia”. Majalah PC. 116. 42-43.
Majalah PC. (2006). ” Pemantauan Internet Di Rumah”. Majalah PC. 116. 28-29.
Majalah PC. (2006). ” Bermain Sambil Berkongsi Maklumat”. Majalah PC. 114. 48-49.
Majalah PC. (2006). ” Perisian Percuma Membina Laman Web”. Majalah PC. 113. 29-31.
Majalah PC. (2006). ” Mari Bina Laman Web”. Majalah PC. 113. 21-24.
Majalah PC. (2006). ” E-dagang: Bernilai Berbilion Ringgit”. Majalah PC. 113. 32-33.
Red.Rockhopper. (2006). ” Pesta Kod Sumber Terbuka di Malaysia ”. Majalah PC. 113. 42-45.
Red.Rockhopper. (2006). ” Bicara Bersama Richard Stallman. Bapa Perisian Bebas! ”. Majalah PC. 110. 46-49.
Wan Zah Wan Ali, Ramlah Hamzah, Zakaria Masa, Mohd Majid Konting, Rosini Abu (2003). ” Prinsip Teknologi Pengajaran”. Kuala Lumpur: Malindo Printersdn Bhd.
http://www.bharian.com/

.

1 comments:

Anonymous said...

Sangat Membantu.. Terima kasih..:D

Post a Comment

Back to Top